Sunday 27 November 2016


YUPPP JOM BERPUISI...SAMA AKU DONG..............
KU INGIN TERBANG TINGGI

Aku ingin sekali terbang,
Bebas menuju langit biru,
Menggapai awan putih menggebu,
Tinggi, tinggi, tinggi!
Hingga yang kelihatan di bumi,
Hanyalah bintilan kecil yang sepi,
Tinggi, tinggi dan tinggi!
Hanya udara sejuk yang ku rasai.

Oh betapa aku ingin terbang,
Meluncur laju dengan waspada,
Gagah membelah awan yang berbeda, 
Mataku pejam penuh keinsafan,
Rambutku segar gerbang berterbangan, 
Kulitku bugar disapa kenyamanan,
Indah! Asyik! Mempesona!
Yang ada hanyalah aku dan kebebasan!

Namun yang ingin terbang itu,
Bukanlah jasadku yang berpijak di bumi,
Bukanlah badanku yang berpasak di sini,
Bukan juga tubuhku yang terbelenggu kaki.
Itu pasti tidak terjadi,
Itu angan-angan di siang hari,
Kerana sudah termaktub di kitab abadi,
Manusia lahir tanpa kepak di sisi.

Tapi yang ingin terbang meninggi,
Hingga ke langit sakti,
Menyentuh petala terjaga rapi,
Bebas menari di awanan ranggi,
Adalah jiwaku yang meronta,
Adalah hatiku yang bergelora,
Adalah nuraniku yang menderita,
Adalah sukmaku yang terseksa.

Kerana itu aku ingin terbang!
Jauh dari jahiliyyah yang meratah,
Tinggi dari taghut yang membelasah,
Bebas dari kejahatan yang menggugah!

Bukan, aku bukan ingin lari dari realiti,
Bukan mahu menguzlahkan diri,
Bukan si bacul tanpa harga diri,
Kemungkaran akan tetap ku lawan berani!

Aku hanya ingin terbang!
Mengurai belenggu mengikat kaki,
Mengikis jahiliyyah berkarat di hati,
Membuang dosa yang bersemi,
Meninggal noda yang sebati,
Kerana itu aku perlu terbang,
Bebas! Tinggi! Perkasa! Pantas! Berani!
Agar aku menjadi pahlawan,
Yang benar lagi suci,
Mengibar gagah panji Ilahi.

Aku juga ingin terbang,
Agar aku melihat dunia dengan penuh kebenaran,
Dari sudut tinggi tanpa batasan,
Bukan dengan mata penuh kemaksiatan,
Atau pandangan dusta pelbagai halangan,
Pantas seekor burung di awanan,
Melihat keindahan alam ciptaan Tuhan,
Dari langit kemilau begemerlapan.

Namun kadang-kadang aku tersungkur,
Jatuh tersembam di tanah bumi,
Dek kegopohanku mengepakkan sayapku,
Atau terbang tinggi tanpa arah,
Maka jangan tinggalkan aku gugur,
Tanpa teman seorang diri,
Pimpinlah tanganku, angkatlah daku,
Terbang bersama libasan ukhuwwah.

Ya Allah!
Kurniakan aku dengan sayap keimanan,
Berikan aku kepak ketaqwaan,
Agar aku dapat terbang tinggi,
Menuju redhaMu yang abadi,
Menggapai sorgaMu yang hakiki,
Aku ingin sekali terbang bebas,
Tinggi, tinggi dan tinggi!

No comments:

Post a Comment